BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, May 12, 2010

Post Mortem Jom Jemaah 3

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Untuk pengetahuan sahabat sekalian, Jom Jemaah kali ketiga telah berjaya dilangsungkan pada hari Ahad lepas, 9 Mei 2010 dan buat pertama kalinya, kami dapat bertemu semula dalam kumpulan-kumpulan kecil usrah dengan naqib/ah yang telah ditetapkan. Alhamdulillah, kehadiran memberangsangkan dan diharapkan sambutan Jom Jemaah akan lebih meriah pada masa akan datang. Insyaallah, kami akan cuba untuk mencipta suatu kelainan dan mempelbagaikan cara penyampaian pengisian dalam setiap program Jom Jemaah. Jadi, tidaklah rugi bagi sahabat sekalian sekiranya sedikit masa itu kita isikan dengan sedikit santapan rohani selain berpeluang untuk bertanya khabar dan beramah mesra.

Usrah minggu ini mengupas huraian surah An-Nas, diikuti dengan diskusi mengenai ‘pilihan’. Berbekalkan hadiah daripada Kak Aisyah (rujuk post Hadiah Daripada Kak Aisyah), kupasan surah An-Nas menjadi lebih mudah untuk difahami. Ringkasnya, surah An-Nas (Manusia) boleh kita bahagikan kepada 2 bahagian; ayat 1-4 menerangkan sifat-sifat Allah dan ayat 4-6 menerangkan kejahatan daripada syaitan. Surah ini menerangkan sifat Allah sebagai Rab, Malik & Illah dan apabila kita bercakap mengenai sifat-sifat Allah, kita dapat kaitkan juga dengan tauhid; Rububiyah, Uluhiyah, Asma wa Sifat. Contoh penjelasan Asma wa Sifat; Asma (nama-nama) wa (dan) Sifat – Satu contoh sifat Allah ialah Maha Mendengar tetapi manusia juga boleh mendengar, apa bezanya? Sifat pendengaran manusia (ataupun sifat-sifat lain bagi manusia) amatlah terbatas dan bersyarat. Bagi seseorang manusia untuk mendengar, dia memerlukan telinga, gegendang telinga dan bayangkan apabila gegendang telinga seseorang itu tidak berfungsi, maka dia tidak mungkin berupaya untuk mendengar. Manusia hanya boleh mendengar sesuatu dalam lingkungan jarak yang dekat atau dengan bunyi yang kuat tetapi Allah boleh mendengar apa-apa sahaja, di mana-mana sahaja termasuklah bisikan hati kita. Ayat 4-6 membicarakan sifat syaitan, kerja syaitan dan hakikat syaitan. Apa yang menariknya dalam usrah kali ini, didapati ramai antara ahli-ahli usrah yang ingin tahu akan perbezaan jin, syaitan dan iblis. Diharapkan post Bro Fir di Facebook dapat menjawab pertanyaan sahabat sekalian;

MALAIKAT asalnya cahaya
JIN asalnya api (Al-Hijr 15: 26-28)
SYAITAN itu kategori jin
IBLIS itu satu nama syaitan (Al-aaraf 7:12), (Alkahfi 18:50)
MANUSIA asalnya tanah
HAIWAN asalnya air (An-Nur 24:45)

Sesi diskusi mengenai topik ‘pilihan’ mendapat sambutan baik daripada rakan-rakan. Untuk pengetahuan sahabat sekalian, artikel bertajuk ‘Kenapa Suke Buat Perkara yang Dilarang’ dari http://nazrulnasir.blogspot.com/2009/09/kenapa-suka-buat-perkara-yang-dilarang.html telah dipilih untuk dijadikan asas kepada topik diskusi. Alhamdulillah, banyak idea yang dapat disumbangkan antara ahli-ahli usrah, tidak lupa ramai juga yang bertanya. Topik sampingan turut diperbincangkan dan ternyata ahli-ahli usrah giat berbincang dan mengambil bahagian secara aktif. Apa yang mengejutkan bagi sesetengah naqib/ah, tugasan yang diberikan kepada sahabat-sahabat diambil serius (which is good). Sejurus tamatnya program, ada antara ahli-ahli usrah yang giat mencari jawapan kepada pelbagai soalan yang telah dibangkitkan dalam usrah. Tahniah dan syabas diucapkan atas usaha sahabat sekalian.

Suasana yang rileks dan kurang formal dalam berusrah membuatkan usrah kali ini lebih seronok dan lebih berkesan. Ramai antara sahabat yang memberi positive feedback untuk usrah kali ini dan Insyaallah kami akan berusaha untuk menjadikan usrah lebih menarik pada masa akan datang.

Tidak lupa juga jutaan terima kasih untuk sahabat sekalian yang telah bertungkus lumus dalam menyediakan juadah untuk jamuan sebagai penutup program. Antara juadah yang dihidangkan; nasi himpit & kuah kacang, roti jala & kuah kari, bergedil, bubur, roti canai, puding, cekodok & nasi goreng serta pizza, pasta & spaghetti. Ternyata ramai antara kalangan sahabat memang pandai memasak!

Tidak sabar rasanya untuk menyertai Jom Jemaah akan datang... ^_^