BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, February 25, 2010

BERKENALAN DENGAN USRAH

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...

Aritkle ini tidak akan membincangkan secara terperinci mengenai maksud usrah. Secara ringkasnya, usrah bermaksud "KELUARGA", dan anda tahu apa yang kita semua selalu lakukan bersama-sama keluarga:-

- Saling sayang-menyayangi
- Saling nasihat-menasihati
- Saling ingat-mengigatkan
- Bantu-membantu antara satu sama lain
- Memberi tunjuk ajar, tarbiyah, didikan, dan ilmu
- Berseronok, beriadah, dan bergelak ketawa bersama
- Berkongsi pengalaman, pendapat, ilmu, dan buah fikiran
- Macam-macam lagi

Usrah bukanlah satu konsep baru yang diperkenalkan apabila penyebaran Islam pada zaman moden direvolusikan. Bahkan usrah adalah amalan sejak bermulanya penyebaran Islam secara tertutup pada zaman Rasulullah S.A.W, iaitu ketika Arqam bin Abi Al-Arqam dijadikan tempat berkumpulnya Rasulullah dan para sahabat untuk belajar tentang Islam dan juga untuk menyebarkan Islam secara tertutup pada ketika itu.

Maka kesimpulannya, USRAH merupakan suatu agen yang amat penting dalam penyebaran Islam pada masa dahulu, sekarang dan pada masa hadapan. Nabi Muhammad S.A.W pun menganggapnya begitu penting. Anda tak rasa begitu?

KEPENTINGAN USRAH?

Kita semua memerlukan sesi usrah kerana kita telah menggunakan keseluruhan kehidupan seharian kita untuk perkara lain yang tidak berkaitan dengan iman kita. Tambahan pula, ada banyak perkara yang kita lakukan sehari-harian, sebenarnya berdosa, makruh ataupun syubhah, lebih-lebih lagi, kita tinggal dan belajar di Australia ini. Amlan wajib sahaja seperti solat lima waktu sudah tentu tidak mencukupi apatah lagi jika dinilai kembali KUALITI SOLAT kita semua. Sejauh manakah kita yakin dengan amalan solat kita yang sepatutnya dapat mencegah kita daripada perbuatan keji dan mungkar? Maka, waktu usrah ini adalah waktu yang paling baik untuk kita semua bermuhasabah.

Selain itu, tiada seorang pun daripada kita yang mempunyai ilmu yang betul-betul mendalam tentang Islam. Maka, ini adalah waktu yang paling baik untuk kita sama-sama berkongsi ilmu pengetahuan masing-masing dan seterusnya meningkatkan kefahaman kita tentang ISLAM YANG TERCINTA, yang Insya-Allah akan bersama kita walaupun selepas kita mati. Pesanan penaja ialah, jangan ada rasa malu dalam menuntut ilmu, lebih-lebih lagi ilmu tentang Islam, iaitu ilmu yang paling penting di dunia dan akhirat.

Oleh itu kawan-kawan, apa salahnya kalau kita bersama-sama meluangkan sedikit daripada masa kita untuk mengingati ALLAH dan menilai kembali tahap keimanan dan juga kualiti amalan ibadat kita seharian. Ini adalah peluang yang baik untuk menambahkan pahala, meningkatkan kefahaman dan menguatkan keimanan. Insya-Allah. Semua ini adalah untuk bekalan kita semua bagi menghadapi hari kematian dan akhirat yang pasti. Ya, kita semua memang selalu lupa tentang akhirat dan kematian.


APA KEISTIMEWAAN USRAH?


Berikut merupakan beberapa aspek tentang usrah yang menjadi pilihan kita semua:-

  1. Usrah adalah satu program yang berlandaskan konsep kekeluargaan dan persaudaraan. Ia merupakan suatu konsep yang peribadi dan sangat hampir dengan setiap individu.
  2. Selain itu, ia berteraskan persaudaraan dan kekeluargaan Islam, di mana setiap muslim itu adalah bersaudara dengan muslim yang lain tidak kira bangsa dan latar belakang; iaitu suatu konsep yang amat penting dalam Islam.
  3. Tiada peraturan hitam putih di dalam usrah. Ahli-ahli usrah tidak perlu terikat dengan protokol yang membebankan dan menghalang ahlinya daripada daripada bersifat terbuka untuk berbincang dan bertanyakan soalan.
  4. Usrah lebih interaktif. Ia dijalankan dalam kumpulan yang kecil. Oleh itu, para ahli boleh mengupas sesuatu isu dengan lebih mendalam. Pelbagai persoalan boleh dijawab dengan lebih spesifik mengikut keperluan individu.
  5. Usrah ini separuh formal. Para ahli tidak perlu merasa tertekan atau malu untuk berbincang mengenai topik yang dirasakan tidak bersesuaian untuk majlis-majlis ilmu yang formal, seperti di kelas dan di surau/masjid.
SEBAB YANG LAIN:-

Adalah sunat bagi kita untuk berlumba-lumba dalam mengerjakan perkara yang baik terutama perkara yang sunat. Manakala makruh bagi kita mendahulukan orang lain mengerjakan perkara sunat dan perkara yang baik atas sebab hendak memberi peluang kepada orang lain untuk berbuat kebaikan dan mendapat pahala atau dengan alasan bahawa kita tidak layak untuk membuat kebaikan.

Contohnya:-
  1. "Awak sajalah yang tegur dia. Takkanlah aku yang nak tegur, aku tak layak. Siapalah aku..."
  2. "Biarlah orang tu sahaja yang penuhkan saf di hadapan dahulu. Bagi dia peluang dapat pahala lebih sikit."
  3. "Aku ni malas sikit kalau bab-bab agama ni. Maklumlah, aku bukannya alim sangat..."
  4. "Aku sengaja je tak nak bagi sedekah kali ni. Yelah, biarlah orang lain pula yang buat."
(Dialog hanya rekaan semata-mata untuk tujuan pengajaran, tidak berkenaan dengan yang hidup atau pun yang sudah mati...)

Ini kerana orang seperti ini dianggap sebagai seorang hamba Allah yang bongkak kerana merasakan pahala dirinya sudah cukup yang membolehkannya terlepas daripada api neraka, lalu memberi peluang kepada orang lain pula untuk mendapat pahala; dan seolah-olah tanggungjawab amar maaruf nahi mungkar bukanlah di atas tanggunggannya, sedangkan ia adalah kewajipan setiap muslim, dan semua muslim wajib dan layak untuk berbuat demikian.

Tambahan pula, ini adalah amalan para Nabi dan Rasul, serta amalan para sahabat/ulama-ulama yang berebut-rebut untuk meraih pahala daripada Allah S.W.T. Walaupun mereka sudah dijanjikan syurga dan mendapat redha Allah, mereka tetap beribadat dengan bersungguh-sungguh kerana merasakan pahala mereka masih belum melayakkan mereka untuk ke syurga dan merasakan diri mereka masih hina di sisi Allah S.W.T. Jadi kawan-kawan, marilah kita sama-sama mencontohi perkara yang baik ini dan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan dan meraih redha Allah S.W.T.!

AKHIR KATA...

Kini, saya menyeru, semua rakan untuk sama-sama berusrah. Anda semua amat dialu-alukan untuk sama menyumbang ilmu, idea, dan pendapat masing-masing. Jika selama ini anda merasakan usrah itu bosan, apa kata anda semua sama-sama menyumbang idea dan pendapat. Saya pasti, anda semua mempunyai buah fikiran yang tersendiri tentang isu-isu yang berkaitan dengan agama kita yang tercinta ini. Jadi, jangan malu-malu. JOMLAH SEMUA KITA BERUSRAH!




0 comments: